~To acquire knowledge, one must study.. but to acquire WISDOM one must observe..~
(Quotes from Marilyn vos Savant)

Wednesday, 29 December 2021

Kisah di Mahkamah

Lamanya tak berupdate MyWOW - My World of Wisdom ni.. huhuhu

Tulis sikit alang-alang tarikh hari ini teringat peristiwa bersejarah bulan lepas.. untuk kenangan dan pengajaran akan-akan datang.. Pengalaman pertama kali seumur hidup (dan selamanya.. in shaa Allah.. aaminnn).. Dipanggil mengadap ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.


Alkisahnya.. dapat whatsapp daripada adik tengah hari 21/11/2021.. ada wakil daripada pihak Perkeso datang ke rumah serahkan surat panggilan ke mahkamah bertarikh 29/11/2021 jam 09:00 pagi.

Dalam surat berkenaan tertulis di lampiran A pertuduhan bahawa #nazmyzaki sekian-sekian telah didapati gagal membayar #FCLB (Faedah Caruman Lewat Bayar) sekian-sekian ... ...  ... di mana tertera hukuman:
"Jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau kedua-duanya."


Pada surat berkenaan, adik juga telah mencatatkan nombor wakil daripada #Perkeso iaitu Puan Nisa (012 ABC DEFG). Tapi, waktu tersebut tak tahu dan tak terfikir pulak nak telefon bertanya lebih lanjut sebab memang surat dah tulis sejelasnya tarikh dan jam panggilan. Juga, tak tahu bahawa Puan Nisa tersebut adalah pihak pendakwa raya. Ingatkan cuma wakil pegawai Perkeso sahaja. 

Disebabkan tak dapat balik on the spot pada minggu berkenaan, sekadar ambil maklum sahaja tentang panggilan tersebut dan sebab-sebabnya. Hari Khamis, 25/11/2021 baru balik kampung. Hujung minggu itulah baru duk tengok-tengok apa segala tentang bayaran et cetera kat Sistem Assist Perkeso

Ya, betullah ada tunggakan bayaran dalam sistem. Tapi tak pernah dapat apa-apa surat amaran atau makluman pun daripada pihak Perkeso sebelum tindakan mahkamah dikenakan. Selalu banyak kes lain-lain, bil telefon, TM etc. pasti akan dapat telefon, email dan yang sewaktu dengannya menyatakan bahawa nama sekian, no akaun sekian akan dikenakan tindakan jika tunggakan bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh waktu sekian-sekian. 

huhuhu.. ini terus dapat surat pertuduhan.. serammmm sangat seramm.. sebab tak fasal-fasal nama naik kat mahkamah dan semestinyalah rekod tersebut akan ada sampai bila-bila.. 😓

Jadinya sebelum hadir ke mahkamah hari berkenaan, segala tunggakan dijelaskan dulu (hurmmm.. buat Ma dan adik-beradik sakit kepala lagi..) Bukan sikit, semua sekali total pembayaran hampir RM2000.. Please, jangan kecam pulak bila anda baca ni.. Betul, salah diri sendiri sebab tak jelaskan bayaran. 

Tapi lepas terpaksa hentikan operasi CKZ Dagang bulan Mei 2020 lepas PKP tu.. Dalam portal Assist Perkeso pun kami telah kemaskini dengan surat berhenti operasi.. Semua pekerja terpaksa diremove dalam sistem.. Mereka pun telah dimaklumkan dan sedikit majlis penghargaan kami sekeluarga sediakan untuk mereka. Perkara setahun lepas (nak masuk dua tahun dah pun), sungguh lupa dan langsung tak ter-register dalam ingatan untuk jelaskan sebarang bayaran tertunggak tersebut. Hurmmm...

= = = = =

Sambung balik kisah di mahkamah.. Jadinya.. hadirlah ke bilik mahkamah buat pertama kalinya.. nervous tak tau nak cakaplah.. Dengan tak pernah ada pengalaman dan ceteknya ilmu masa tu.. setakat google je apa perlu buat apabila dihadapkan pertuduhan.. 

Hari berkenaan.. kami semua tunggu mengikut giliran.. ramai jugak.. ada yang hadir kerana tuntutan daripada pihak JPJ, PDRM, LHDN dan sebagainya.. Untuk PERKESO, hanya aku dan ada seorang lagi tertuduh. Sementara menunggu itulah, ada bercakap dengan Encik tersebut (yang juga dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan yang sama). Menurutnya, dia pun tidak mendapat sebarang makluman. Malah, bayaran telah dijelaskan sebelum mendapat notis FCLB dalam sistem. 

Jadi, ingin mengaku tidak bersalah. Aku pun berpendirian yang sama sebab lepas sesi google-menggoogle, terjumpa banyak statement akhbar dan prosedur yang dikeluarkan oleh mahkamah tentang menjawab pertuduhan. Masa itu, aku takut kalau terus langsung mengaku bersalah.. Nanti terus dikenakan sabit kesalahan dan berkemungkinan denda dua tahun penjara serta penalti RM10,000. 

Lepas dipanggil masuk ke bilik mahkamah, kami diminta duduk di kerusi menunggu di belakang. Setelah itu nama aku yang pertama dipanggil, bangun dengan nervousnya.. Ada seorang pegawai polis yang menunjukkan ke arah meja untuk aku letakkan fail yang dibawa serta menunjukkan tempat untuk berdiri (iaitu di tengah-tengah bilik, bukan dalam kandang pesalah/saksi yang selama ini selalu lihat di berita TV, drama dan sebagainya). Beliau juga meminta aku meletakkan tangan ke belakang (berdiri gaya senam diri).

Nota I: Fail yang aku sediakan termasuklah salinan SSM, IC, serta dokumentasi bayaran dan makluman email daripada pihak Perkeso yang menunjukkan tiada sebarang surat amaran diterima juga beberapa dokumen back up untuk status "Kenapa gagal menjelaskan bayaran tersebut". 

Bila dah berdiri di tempat yang ditunjukkan oleh pegawai polis tersebut (beliau pulak berdiri dengan jarak social distancing sebelah kiri aku), hakim pun meminta pihak pendakwa membacakan pertuduhan (tak silap aku). Habis pertuduhan dibacakan, hakim bertanya sama ada aku mengaku bersalah atau dibicarakan?

Confident saja jawab, mohon bicara. 😂 

Dalam hati masa tu, dengan sedikit ilmu daripada Pak Cik Google, kononnya mungkin aku akan diminta untuk membuat rayuan atau menjelaskan alasan disebalik pengakuan tidak bersalah tersebut.

Kemudian, hakim pun berkata: "Tarikh perbicaraan semula 6 Disember 2021". Beliau juga bertanya sama ada aku akan bela diri atau menggunakan peguam. Jawabku, bela diri. Then, senyap. 

Lepas tu, pegawai polis meminta aku menunggu di luar dewan. Serious.. tercengang-cengang sekejap.. Dah kenapa kan? Ingat macam terus back up diri sendiri gitu. Aku pun keluarlah dengan confusednya. 

Tak lama lepas tu, mungkin sebab Encik tadi pun mengaku tidak bersalah. Jadi sekejap saja pihak Perkeso keluar. Aku pun terus bertanya sebab betul-betul tak faham dengan apa yang berlaku sepantas kilat tadi.. dah la ketar lutut tak habis lagi.. Sabar je la kan.. huhuhu

Menurut pihak pendakwa raya dan ada seorang lagi jurubahasa bersama-sama waktu itu, katanya kita akan berjumpa semula pada tarikh 6 Disember untuk penyerahan dokumen. Aku pun tanyalah nak kena buat apa lagi ya sebab memang aku betul-betul blur..

Kata mereka, boleh minta khidmat nasihat di tingkat lima. Pergilah aku menapak naik lif ke tingkat lima.. Lupa pula apa nama bahagian tersebut.. Tak silap Bahagian Khidmat Nasihat dan Rundingcara macam tu kot.. sampai di sana, aku bagi salam dan bertanyakan hal khidmat nasihat tersebut.

Waktu tu, tiada peguam yang available. Hanya ada dua orang staf atau mungkin pegawai tadbir.. Melihat aku yang mungkin resah nervous entah apa-apa tu kot, mereka pun bertanyalah untuk kes apa segala.. Aku maklumkan dan tunjuk surat pertuduhan daripada pihak Perkeso..

Oh.. kata mereka, mereka macam tak ada cover untuk kes tersebut. Selalu untuk kes-kes berat.. Tambah mereka jugak, mereka pun baru saja dapat makluman daripada pihak Perkeso untuk tunggakan bayaran sejak 2018 kata mereka.. Mereka juga bagi no contact Puan Elyana iaitu pegawai Perkeso untuk aku tanyakan maklumat lanjut. Nasihat mereka, mengaku bersalah saja. Nanti mereka akan bagi ruang untuk mengemukakan rayuan. Kalau mohon bicara panjang pula kisahnya. 

Keluar daripada pekarangan mahkamah, aku telefon Ma untuk maklumkan dan terus memandu kereta ke bangunan Perkeso. Di sana, aku contact Puan Elyana untuk bertanyakan lebih lanjut. Apa yang perlu buat dan sebagainya. Menurut beliau, juga sama. Mengaku bersalah dan nanti hakim akan bagi peluang membuat rayuan. Jelas dengan maklum balas tersebut, aku pun baliklah rumah.

= = = = = 

Menantikan hari perbicaraan seterusnya, aku sediakan fail apa yang patut dan susun mengikut keperluan. Dalam surat daripada Perkeso bertarikh 13/07/2020, memang jelas tertera statement:
"Sila ambil perhatian, bayaran hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini. Kegagalan menjelaskan FCLB akan membolehkan tuan/puan dikenakan tindakan selaras dengan Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja dan Peraturan 32 Peraturan-peraturan(Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971."


Tapi, bagi aku (waktu itu).. takkanlah langsung tiada surat amaran dan yang sewaktu dengannya.. Takkan terus dapat surat pertuduhan mahkamah.. sebab serious sebelum ini, apa-apa mesti ada panggilan telefon, email, SMS dan terkini whatsapp.. untuk sebarang makluman tindakan akan diambil dan sebagainya.

Aku pun risik-risiklah lagi dengan google di laman web Perkeso, rupa-rupanya memang dah tertulis di Bahagian Penguatkuasaan ke atas Majikan iaitu: 
"Jika tiada bayaran kompaun yang diterima selepas tempoh empat belas hari itu atau dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah maka, tindakan pendakwaan boleh dimulakan TANPA NOTIS SELANJUTNYA."


Akur.. ceteknya ilmu dan pengalaman.. Sungguh amat bermakna segala peristiwa yang berlaku dalam tempoh mengendalikan sebuah perniagaan berskala besar CKZ Dagang (bagi akulah).. sejak daripada 6 November 2017 sehingga Mei 2020. Macam-macam hal yang memberikan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pengalaman.. Bukan sekadar teori, tetapi aplikasi dan praktikal yang sehingga kini bias-bias kesannya masih berat untuk ditanggung.. 😵😷 

"Pengalaman adalah salah satu guru terbaik dalam kehidupan.."
= = = = =

Berbalik kepada kisah di mahkamah siri II.. 
(Panjang pulak ceritanya.. dari lepas asar, sambung pulak lepas isyak..)

Tarikh 6 Disember, aku pun pergilah ke mahkamah.. Ikutkan waktu sesi lepas, tak ada pula dimaklumkan jam berapa.. Cuma hasil daripada Pak Cik Google jugak: waktu bersidang mahkamah ialah jam 09:00 pagi atau pada waktu yang telah ditetapkan.. Aku sedikit kalut pagi tersebut dan tiba lewat 20 minit.. Alhamdulillah.. seperti sesi lepas, kami perlu menanti sidang bicara pihak lain-lain dahulu sebelum dipanggil masuk.  

Dengan sedikit ruang masa menunggu tersebut, pihak Perkeso menyerahkan satu fail kuning berisi dokumen serahan yang berkaitan. Pegawai Perkeso yang menyerahkan fail tersebut meminta aku menurunkan tanda tangan di salinan dalam fail beliau. Manakala salinan dokumen yang diserahkan kepada aku, ditanda tanganinya. Waktu itu, barulah aku tahu bahawa Puan Nisa yang adikku catatkan nombor telefonnya adalah beliau sendiri, selaku pihak pendakwa mewakili Perkeso.

Aku mengambil peluang bertanya dan memaklumkan pendirian aku yang ingin menukar pengakuan bersalah. Tapi aku takut dengan sabit kesalahan tersebut. Adakah aku dikira "pesalah jenayah" yang sewaktu dengannya. Sebab aku sekarang dalam proses memohon pekerjaan. Ada sesetengah sistem permohonan bertanyakan status kesalahan jenayah sama ada pernah atau tidak.

Puan Nisa juga memohon kepastian daripada salah seorang lagi peguam daripada SSM tentang status tersebut. Kata beliau, tidaklah sampai begitu. Memang pendakwaan adalah disabitkan dengan kesalahan di bawah akta yang berkaitan, namun tidak dimaksudkan dengan jenayah berat yang membabitkan permohonan kerja dan sebagainya. Ibarat macam saman trafik, saman JPJ begitu kata beliau lagi. Memang rekod akan ada. Cuma tak menjejaskan peluang kerja dan sewaktu dengannya. Aku sedikit lega. 

Tambahan pula, menurut Puan Nisa. Denda yang dikenakan setelah rayuan selalunya tidak tinggi. Belum pernah kes yang dikendalikan olehnya dikenakan sehingga RM10,000 tersebut. Apatah lagi sejak musim Covid-19 ni. Paling tinggi pun kata beliau adalah RM2000.

Sekitar jam 10:00 pagi, kami dipanggil masuk. Seperti sesi yang lepas, aku adalah orang pertama yang dipanggil. Kali ini lebih yakin sedikit, setelah meletakkan fail di atas meja yang disediakan. Aku berdiri di tengah-tengah bilik (sekali lagi bukan di kandang pesalah seperti berita/cerita yang pernah aku lihat). 

Hakim pun meminta pihak pendakwa menyatakan pertuduhan. Puan Nisa pun memaklumkan tentang serahan dokumen yang diberikan kepada aku serta pertukaran pengakuan bersalah yang aku khabarkan kepada beliau sebentar tadi.

Kemudian, hakim membacakan semula pertuduhan ke atas aku dan memberikan aku ruang untuk membuat rayuan. Aku membalas dengan memohon maaf terlebih dahulu kerana tersalah faham dengan proses dan prosedur mahkamah sebelum ini dan mengaku bersalah. Namun, memohon rayuan dengan status aku yang masih seorang pelajar serta isu CKZ yang telah ditutup akibat Covid-19 juga lain-lain sebab yang memungkinkan aku dikenakan denda seminima mungkin.

Akhirnya, hakim membacakan sekali lagi sabit kesalahan tersebut dan menyatakan aku dijatuhkan denda sebanyak RM500 atau jika gagal dua bulan penjara. Aku mengangguk menandakan faham dan seterusnya keluar daripada bilik bicara lebih kurang 10:30 pagi. Sekali lagi, aku menanti di luar untuk proses seterusnya. Sambil menunggu, aku menghantar whatsapp kepada Maa untuk maklumkan hasil perbicaraan. 

Tidak lama setelah itu, sesi perbicaraan Perkeso tamat dan Puan Nisa keluar mendapatkan aku. Aku dibawa ke bahagian pembayaran untuk menjelaskan denda tersebut. Begitulah tamatnya kisah di mahkamah. 


Nota II: Etika Menghadiri Mahkamah Terbuka

  • Berada di dalam bilik bicara sebelum pukul 9.00 pagi atau pada masa yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
  • Bangun dan tunduk hormat apabila Hakim/Majistret masuk dan meninggalkan bilik bicara.
  • Tampil ke hadapan apabila nama anda dipanggil oleh jurubahasa.
  • Berikan sepenuh perhatian anda kepada prosiding yang sedang berjalan.
  • Dilarang membuat bising semasa mahkamah bersidang.
  • Tunduk hormat ketika hendak masuk dan keluar dari mahkamah yang sedang bersidang.
  • Kanak-Kanak tidak dibenarkan untuk dibawa ke dalam bilik bicara kecuali jika diarahkan oleh mahkamah.
  • Sebarang jenis senjata adalah tidak dibenarkan.
  • Sebarang rakaman samada dalam bentuk audio atau visual adalah tidak dibenarkan.
  • Telefon bimbit, alat keluli dan lain-lain alat elektronik yang boleh menghasilkan bunyi hendaklah dimatikan.

Lain-lain maklumat: Soalan lazim Portal Rasmi Mahkamah Tinggi Terengganu

= = = = =

Sebelum pulang dari mahkamah, aku juga ada bertanyakan kepada Puan Nisa tentang status operasi kedai. Sebab sepatutnya aku telah mengemas kini surat makluman tersebut di Portal Assist Perkeso sejak tahun lepas. 

HAL EHWAL PERKESO

Rupa-rupanya, menurut beliau aku perlu mengisi borang A1 untuk makluman pemberhentian operasi perniagaan. Aku boleh menghantar secara dalam talian atau terus pergi ke Pejabat Perkeso di Jalan Air Jernih

Disebabkan ada lagi satu surat makluman FCLB setelah menjelaskan tunggakan bayaran, permohonan pengurangan yang diberikan masih tinggi. Juga kata Puan Nisa, aku boleh memohon rayuan seterusnya daripada Ketua Pengarah Perkeso. Namun surat perlu diserahkan kepada pejabat, tanpa permohonan dalam sistem. 

Aku balik ke rumah untuk menyediakan surat rayuan tersebut dan kembali ke Pejabat Perkeso. Setelah memaklumkan kepada staf di kaunter nombor, aku diserahkan Borang A1 juga Surat Rayuan yang telah dibuat khas. 

Oh, rupa-rupanya tak perlu buat sendiri pun. Surat rayuan tersebut telah disediakan, tinggal hanya untuk diisi maklumat diri dan perusahaan serta alasan permohonan rayuan. Selesai hari berkenaan. 

23 Disember lepas, baru dapat email notifikasi tentang successful update untuk status henti operasi. Namun rayuan FCLB berjumlah RM940 masih belum dikemas kini. Risau pulak.. Semoga dihapuskan dan tidak dikenakan denda lagi (aaminn ya rabbal alamin)..

Last but not least..

NASIHAT KEPADA PARA MAJIKAN ATAU BAKAL MAJIKAN

Jika anda telah atau akan menggaji pekerja, sila ambil maklum perihal caruman Perkeso dan KWSP. Kedua-duanya adalah WAJIB

Takrifan pekerja:

(i) Perkeso: Seorang yang diambil bekerja dengan bergaji di bawah satu kontrak perkhidmatan atau kontrak perantisan dengan seorang majikan, sama ada kontrak itu nyata atau disifatkan ada atau dengan lisan atau dengan bertulis, dalam atau berhubung dengan kerja sesuatu perusahaan yang diliputi di bawah Akta. Pekerja sementara atau tidak tetap juga adalah wajib didaftarkan dengan PERKESO (termasuk pekerja asing).

(ii) KWSP: Orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan. Kontrak perkhidmatan atau perantisan itu boleh dalam secara bertulis atau secara lisan, nyata atau tersirat. Sekiranya bekerja dalam mana-mana hari dalam sesuatu bulan dan menerima upah melebihi RM10.00 (sama ada berbentuk gaji hari, jam atau piece rated) adalah dikenakan caruman KWSP.

Untuk Perkeso, akan ada dua akaun caruman iaitu SOCSO dan EIS. Jadi kena tahu kedua-duanya. Lebih baik kalau terus ke pejabat Perkeso terdekat untuk meminta tunjuk ajar step by step bagi penggunaan sistem Assist Perkeso.

Nak tahu lebih lanjut, sila aktifkan diri mencari maklumat di: Perkeso dan KWSP

KEPADA PEMOHON KERJA DAN PEKERJA 

Anda juga perlu ambil tahu hak anda sebagai seorang pekerja. Jika majikan melakukan sebarang kesalahan dan menzalimi hak anda, sila bawa BERBINCANG dengan pihak pengurusan/majikan. 

Jika tiada sebarang tindakan pembetulan dilakukan oleh majikan, anda bolehlah membawa kes tersebut kepada lain-lain pihak berwajib seperti Jabatan Tenaga Kerja dan sebagainya.

Semoga sama-sama membentuk lingkungan kerjaya yang adil, sihat dan bahagia. 

= = = = = 

Tu je la untuk setakat ni.. Panjang lebar ceritanya.. Semoga update yang terbaik sahaja untuk masa-masa mendatang. Tahun 2021 pun dah nak berakhir.. takutttt..

Mohon doa semoga progress report yang akan dihantar tidak lama lagi adalah noktah akhir draft thesis #nazmyzaki.

Rabbi yassir wa la tu'assir.. Rabbi tamim bilkhair.. 
Aaminn aaminnn ya rabbal alamin..
WORLD OF WISDOM : NAZMY ZAKI COPYRIGHT