~To acquire knowledge, one must study.. but to acquire WISDOM one must observe..~
(Quotes from Marilyn vos Savant)

Wednesday, 4 October 2017

Kerinduan yang Tak Terubat II

Ini kisah abah.. Abah telah lama diuji dengan sakitnya.. sejak enam ke tujuh tahun yang lepas.. Tahun 2010, abah mengalami bengkak di tulang telinga.. Pembedahan penuh dijalankan pada tahun 2011 iaitu saat aku di semester akhir degree.. Sumpah.. Aku langsung tidak tahu berkenaan dengan pembedahan ini kerana di kala itu aku di musim peperiksaan dan hanya setelah aku pulang, abah menunjukkan belakang telinganya yang dibedah hampir 8-10 cm untuk membuang isi yang membengkak tersebut.. Sebulan ke dua bulan selepas pembedahan, pihak HSNZ telah menghubungi abah memaklumkan satu berita yang amat menakutkan iaitu 'ABAH PENGHIDAP PENYAKIT KANSER TULANG TELINGA'.. Ya Allah.. Ya Allah.. Ya Allah..

Bermula sejak itu, pelbagai cara dan ikhtiar yang abah lakukan untuk mengubati penyakitnya.. Sebutlah segala macam ubat.. segala macam penawar.. segala amalan, doa dan zikir serta doa-doa daripada alim ulama yang telah abah usahakan.. Ke seluruh pelusuk negeri malah melawat negara jiran untuk mencari kaedah perawatan penyakit kanser tersebut.. Apa jua petua yang diberikan abah cuba.. kepahitan ubat, daun kayu dan akarnya terasa manis oleh abah.. Pernah sekali aku terminum air dalam bekas cawan ubat abah.. Ya Allah.. memang pahit yang tak dapat digambarkan..

Tahun 2014.. ketika itu, aku sedang dalam program pertukaran pelajar di Universitas Gadjah Mada.. Abah telah membuat keputusan untuk menjalani sesi kimoterapi.. Aku mengambil teket penerbangan pulang ke Malaysia dan bersama-sama ma dan adik menemani abah untuk sesi pertamanya.. Enam sesi kesemuanya.. bermula sesi ke empat.. fizikal abah semakin berubah.. seluruh muka dan tubuh abah pucat.. seluruh rambut abah luruh.. abah muntah-muntah..

Alhamdulillah.. Allah kurniakan abah kesabaran dan ketabahan.. Abah kembali kuat sedikit demi sedikit.. Namun aidilfitri 2015.. pagi raya.. fizikal abah tampak perubahan yang amat ketara.. tulang pipi abah membengkak.. Bulan Oktober tahun ini.. dalam perjalanan pulang dari menghadiri sesi konvokesyen adikku yang ketiga.. abah akhirnya telah memberitahu kami satu kenyataan yang kami seboleh mungkin ingin nafikan.. Abah sebenarnya sudah lama disahkan penghidap kanser tahap 4.. Ya Allah.. Kata abah.. Dr menyatakan kemungkinan besar selalunya di peringkat ini pesakit hanya mampu bertahan sekitar dua ke tiga tahun.. Abah kerap turun menjalani medical check up di IKN.. Dr menyarankan agar abah menjalani sesi radioterapi..

Namun.. alhamdulillah.. dengan izin Allah.. berbekalkan semangat dan kepercayaan abah yang tinggi terhadap apa jua yang Allah telah tetapkan.. abah masih mampu bertahan sehingga hampir tujuh tahun..

Tahun 2016 aku telah dilantik menjadi salah seorang jawatankuasa tertinggi persatuan siswazah UMP.. segala mutiara kata dan perkongsian telah abah berikan terutamanya dalam bab pengurusan dan perhubungan sesama manusia.. Kata abah kepadaku.. along banyak ambil sikap dan peribadi abah.. moga benarlah apa yang abah lafazkan.. moga segala perbuatan baik yang aku lakukan dicatatkan saham akhirat ke atas abah.. Ogos 2016... satu gambar kenangan membuatkan aku menangis sedih.. saat ini, abah menghadiri majlis penganugerahan pangkat kepada adikku.. Abah nampak tersangat-sangat sakit dan lemah..

Pada waktu ini dan hingga ke saat abah di masukkan ke hospital di hujung-hujung usianya, aku amat mendoakan agar Allah memberi peluang dan ruang kepada abah untuk sembuh dari sakitnya atau sekurang-kurangnya dikurangkan kesakitan agar kami masih bersama sehingga 2018.. tinggi impianku agar aku berjaya menamatkan PhD dan membawa ma dan abah menunaikan umrah bersama-sama.. Namun, kita hanya mampu merancang..

Tahun 2017 adalah tahun yang memeritkan bagi kami sekeluarga.. berat badan abah semakin menyusut.. Dr menyarankan agar abah membuat keputusan segera untuk menjalani sesi radioterapi.. Namun abah masih tidak mahu mengambil risiko tersebut.. Tahun ini aku kerap pulang ke rumah kerana abah sentiasa menelefon menyuruhku pulang.. April 2017 abah makin sakit berat.. sebulan abah tidak mampu berdiri dengan sendiri dan kepala abah pening berpusing..

Alhamdulillah.. Allah masih memberi abah ruang masa yang sedikit.. Abah kembali okay.. Solat aidiltri, abah membacakan doa dan membuat perkongsian.. Aidilfitri kali ini, abah menampakkan dirinya yang sangat sihat, ceria dan gembira menyambut tetamu-tetamu yang hadir.. Abah menjadi seorang yang banyak bercakap.. Sentiasa berkongsi segala apa yang terlintas di fikirannya.. sehingga menimbulkan satu kepelikan kepada kami sekeluarga..

Ma dan kami adik-beradik sampai ke satu tahap menyuruh abah berehat dan berdiam kerana abah nampak "sakit".. Namun, abah tetap bercakap dan bercakap.. Antara yang paling kerap abah ceritakan kepada tetamu adalah kisah di mana kata abah "Allah tidak akan memberi ujian yang lebih berat daripada derita ujian Nabi Ayub alaihissalam.. yang menderita sakit selama tujuh tahun dan ditinggalkan anak isteri.." kata abah lagi "tahun ini mungkin penentu.. sekiranya Allah sembuhkan, maka Allah akan sembuhkan semuanya.. dan sebaliknya.."


Abah kekadang bercerita kepada anak kecil seolah-olah sedang bercakap dengan seorang dewasa.. Abah juga menegur sedara mara segala perkara yang dirasakan patut ditegurnya.. Aku mewakili arwah abah ingin memohon maaf kepada semua pihak yang mana mungkin terguris perasaan dan terasa dengan butir-butir kata dari abah.. Kekadang abah bercakap tanpa butiran yang jelas.. Aku kerapkali menyatakan kepada ma dan adik-adikku bahawa mungkin sel kanser telah merebak ke otak abah..

Julai.. Abah kembali tidak mampu berdiri seperti bulan April yang lalu.. namun kali ini, semakin tenat.. Abah sakit tanpa dapat membezakan siang dan malam.. tanpa dapat mengira waktu solat.. Jam baru 7 pagi tetapi abah ingin menunaikan solat zohor.. abah terbaring tanpa dapat bangun sekiranya tiada kami memanggungnya..  Imbangan badan abah hilang.. abah solat duduk.. abah lupa belum menunaikan solat fardu tetapi abah solat sunat yang lain.. Setiap kali tersedar, abah pasti ingin menunaikan solat..

3 Ogos.. abah telah meminta tolong bapa saudara kami membawanya ke IKN kerana keadaan kesihatan yang semakin buruk.. Dr menyuruh kami berbincang untuk menjalani sesi radioterapi.. kata Dr risiko tersangat tinggi.. amat jarang kes sedemikian berlaku.. Selalunya pesakit yang menerima rawatan ini adalah dari paras dada ke bawah.. Disebabkan abah di bahagian telinga, Dr bimbang akan segala kemungkinan.. Jika terkena pada mata, maka butalah.. Jika terkena bahagian otak, maka abah kemungkinan akan lumpuh dan mungkin juga kematian.. Dr meminta kami berbincang dan membuat keputusan.. Sesi baru pertemuan di tetapkan pada 26/27 haribulan..


Dalam keadaan sakit.. 11 Ogos... abah meminta kami menghantarnya ke rumah tok.. tok akan ke Mekah esok harinya.. Ya Allah.. dengan bersusah payah.. kain pelikat yang dipakai abah tidak seperti kebiasaan.. kami perlu mengikatnya.. berat abah turun teramat banyak lebih 20kg.. Kopiah yang selalu abah pakai menjadi sangat besar dan longgar.. Aku dan adikku memapah abah ke rumah tok.. Kesemua kami sanak saudara menangis apabila abah tidur di sebelah tok, memohon maaf segalanya.. Ya Allah... saat ini.. kerapkali abah memanggilku.. Along.. Ainn.. ain.. Ya Allah.. Ya Allah.. Along sayang abah..


17 Ogos, abah dimasukkan ke wad HSNZ untuk rawatan kerana keadaan tubuh badan abah yang sangat lemah.. Kata ma dan adik-adikku.. Abah muntah darah.. Dr ingin membuat pemeriksaan bimbang sekiranya berlaku pendarahan dalaman.. 18/08 tahun Jumaat malam.. Abah semakin tidak stabil dan dalam keadaan separa sedar..  Setelah diperiksa.. Dr mengesahkan sel kanser sudah merebak ke otak.. Ya Allah.. Tiada siapa yang mampu menghalang takdir-Mu.. Sabtu 19/08/2017 jam 12:34 menurut perkiraan Dr, abah telah disahkan meninggal dunia..


Pergilah abah.. Allah telah mengangkat segala kesakitan abah di dunia ini.. Allah telah memberikan jawapan yang terbaik bagi doa-doa yang dipanjangkan untuk abah.. Terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang telah mendoakan kebahagian dan kesejahteraan abah di dunia dan akhirat.. Terima kasih atas segala sumbangan yang diberikan.. Sekiranya ada hutang abah di dunia, mohon disampaikan kepada kami untuk dilangsaikan.. Sekiranya ada salah dan silap abah, kami dengan rendah hati memohon agar dimaafkan dan diredhakan..



No comments:

Post a Comment

WORLD OF WISDOM : NAZMY ZAKI COPYRIGHT